NAAM optimis lima emas

Sasaran NAAM tidak berubah kata Abdul Hamid. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) optimis mampu mencapai sasaran lima emas di Sukan SEA 2019 walaupun tanpa kehadiran pemanah berpengalaman, Lee Kin Lip dalam skuad.

Pemanah compound dari Sabah itu tersisih dalam senarai akhir untuk menyertai empat pemanah yang terpilih ke Sukan SEA Filipina.

"Dia gagal berada di kedudukan empat terbaik sekali gus tempatnya diraih M Khambeswaran yang cemerlang semasa sesi pemilihan.

"Sasaran NAAM tetap tidak berubah iaitu mendapatkan lima emas yang sudah ditetapkan sejak awal walaupun tanpa kehadirannya.

Berdasarkan prestasi di Kejohanan Dunia baru-baru ini, saya fikir kita tidak mempunyai masalah besar menghadapi pencabar dari Asia Tenggara dan mencapai sasaran," kata Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan.

Beliau berkata selepas menyaksikan Kejohanan Memanah Kebangsaan di Majlis Sukan Negara, Keramat, hari ini.

Gandingan Kin Lip bersama-sama Juwaidi Mazuki dan Zulfadli Ruslan membolehkan Malaysia meraih emas acara berpasukan pada Sukan SEA 2015 dan 2017.

NAAM sudah menyenaraikan 16 pemanah terakhir untuk diserahkan kepada mesyuarat jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) esok (Isnin).

Ia bakal diketuai naib juara dunia recurve, Khairul Anuar Mohamad serta barisan pemanah berpengalaman termasuk Juwaidi dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh.

"Berdasarkan prestasi lalu, saya yakin semua pemanah negara akan berada dalam kategori A," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 28 Jul 2019