Speedy Jantan belum boleh selesa

Khairul Hafiz masih belum boleh selesa ke Sukan SEA. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan tidak boleh selesa dengan gelaran itu kerana ia tidak menjamin kedudukannya dalam skuad olahraga negara ke Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

Khairul perlu menggunakan tempoh sebulan yang berbaki ini sebaik mungkin untuk memburu tempat dalam acara 100 meter yang mana ketika ini Jonathan Nyepa mendahului senarai kedudukan pelari terpantas.

Malah tempatnya dalam kuartet 4x100m juga masih goyang dengan jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim menegaskan pelari itu perlu bangkit pada baki tiga lagi pertandingan yang akan datang.

"Khairul perlu berusaha lebih keras kerana gelaran pelari pecut Asia Tenggara itu bukan jaminan buat dirinya untuk berada dalam skuad.

"Bagaimanapun masih ada tiga lagi pertandingan iaitu Terbuka Kuala Lumpur (3-4 Ogos), Terbuka Malaysia (17-19 Ogos) dan SIPMA (Sukan Institusi Pendidikan Malaysia) (17 Ogos) untuknya kembali mendapatkan rentak," katanya.

Jonathan kini mendahului senarai pelari 100m selepas melakarkan catatan 10.37s ketika menyertai Kejohanan Joensuu International Track Meet di Findland minggu lalu diikuti Muhammad Zulfiqar Ismail 10.40s.

Pada awal bulan ini The Speedy Jantan merekodkan 10.70s di Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali selepas tujuh bulan tidak beraksi kerana kecederaan.

Atlet kelahiran Merlimau itu, mempunyai catatan peribadi terbaik 10.18s yang dicatatkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, manakala catatan terbaik semusim Khairul Hafiz bagi 2018 adalah 10.28s dalam Kejohanan Kebangsaan Besigheim, Jerman pada Julai tahun lalu.

Untuk rekod antara atlet yang sudah melepasi syarat kelayakan adalah dua jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei, Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Jackie Wong (tukul besi) dan jaguh pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Tarikh akhir kelayakan ke Sukan SEA adalah sebelum 2 September.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 30 Jul 2019