Optimis biarpun hilang sembilan emas

May Tan janji atlet beri persembahan terbaik. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PERSATUAN Renang Amatur Malaysia (ASUM) yakin atlet terjun tetap meneruskan dominasi di Sukan SEA Filipina biarpun menampilkan barisan kedua.

Terjun antara sukan menerima tamparan paling hebat apabila penganjur edisi ke-30 itu hanya mempertandingkan empat acara, berbanding 13 ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017.

"Sebelum turun ke gelanggang, kami sudah kehilangan sembilan emas yang diraih dua tahun lalu. Namun kami akan memberikan yang terbaik walaupun hanya empat acara dipertandingkan.

"Kita bakal menampilkan barisan kedua dan yakin mampu mengekalkan pingat. Jurulatih akan membuat keputusan siapa yang akan dihantar namun kita mempunyai penerjun seperti Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng untuk dipertaruhkan," kata Penolong Setiausaha ASUM, May Tan.

Hanya acara tiga meter papan anjal serta tiga meter terjun serima bagi lelaki dan wanita akan dipertandingkan Filipina nanti.

Dua tahun lalu, skuad negara yang menampilkan barisan terbaik memenangi semua 13 emas yang dipertandingkan sebelum Malaysia kehilangan satu emas kepada Singapura selepas Wendy disahkan positif menggunakan bahan terlarang.

Skuad terjun negara sememangnya berada di tahap tersendiri bagi pentas Asia Tenggara apabila sudah bergelar juara dunia serta pemenang pingat di pentas Olimpik.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 30 Jul 2019