ASUM tetap optimis

AKSI atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri. FOTO Osman Adnan
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

KEYAKINAN Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) tetap menebal untuk atlet terjun meneruskan dominasi di Sukan SEA Filipina walaupun menampilkan barisan kedua.

Terjun antara sukan yang menerima tamparan paling hebat apabila penganjur edisi ke-30 hanya mempertandingkan empat acara, berbanding 13 ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017.

“Sebelum turun ke gelanggang, kami sudah kehilangan sembilan emas yang diraih dua tahun lalu. Namun kami akan memberikan yang terbaik walaupun hanya empat acara dipertandingkan.

“Kita bakal menampilkan barisan kedua dan yakin mampu mengekalkan pingat. Jurulatih akan membuat keputusan siapa yang akan dihantar namun kita mempunyai penerjun seperti Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng untuk dipertaruhkan,” jelas Penolong Setiausaha ASUM, May Tan.

Hanya acara tiga meter papan anjal serta tiga meter terjun seirama bagi lelaki dan wanita akan dipertandingkan Filipina nanti.

Dua tahun lalu, skuad negara yang menampilkan barisan terbaik memenangi semua 13 emas yang dipertandingkan sebelum Malaysia kehilangan satu emas kepada Singapura selepas Wendy disahkan positif menggunakan bahan terlarang.

Skuad terjun negara sememangnya berada di tahap tersendiri bagi pentas Asia Tenggara apabila sudah bergelar juara dunia serta pemenang pingat di pentas Olimpik.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 31 Jul 2019