MOM harap raih 'ibu segala pingat'

PEMAIN negara meraikan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA Jakarta lapan tahun lalu. — FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

KONTINJEN negara berkemungkinan besar tidak mampu mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada Sukan SEA Filipina hujung tahun ini susulan tindakan tuan rumah menggugurkan sejumlah acara emas negara.

Malah harapan buat pelari 100 meter, Khairul Hafiz Jantan mempertahankan gelaran Raja Pecut kabur dengan kehadiran pencabar dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.

Namun peluang untuk memastikan impian membawa pulang ‘ibu segala pingat’ masih terbuka luas sekiranya prestasi pemain muda negara diambil kira.

Tidak hairan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dalam kategori A dengan semua perbelanjaan ditanggung pada temasya dwitahunan itu.

“Skuad lelaki diberikan kategori A... ia menunjukkan mereka (jawatankuasa pemilihan MOM) mempunyai harapan besar terhadap kami.

“Sebagai pengurus pasukan saya akan pastikan pasukan melangkah ke final dengan skuad lelaki cukup kuat. Kami harap mampu terjemah harapan MOM untuk mendapat pingat.

“Pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut yakin untuk mara ke final dan kalau boleh bergelar juara sekali lagi,” jelas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Dua tahun lalu, skuad negara terpaksa akur meraih perak apabila kecundang di final kepada Thailand.

Kali terakhir Malaysia meraih emas adalah pada edisi 2011 apabila skuad negara menewaskan Indonesia di final menerusi penentuan sepakan penalti.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 31 Jul 2019