Petanque bertanding atas tiket MOM

HAFIZUDDIN menang emas perseorangan lelaki pada Sukan SEA KL2017. — FOTO Hafiz Sohaimi
BERNAMA

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengambil keputusan untuk menghantar atlet petanque negara di bawah naungannya ke temasya Sukan SEA Filipina 2019 selepas Persatuan Petanque Malaysia (PPM) digantung dalam semua kejohanan oleh badan induk dunia.

Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata, proses pemilihan khas akan diadakan untuk memilih pemain petanque terbaik ke Sukan SEA dari 30 November hingga 11 Disember depan.

PPM digantung oleh Persekutuan Petanque Antarabangsa (FIPJP) kerana didakwa berkaitan isu kewangan dan tidak mengikut garis panduan ditetapkan ketika menyertai pertandingan antarabangsa.

“PPM digantung oleh FIPJP dan oleh itu proses pemilihan khas akan diadakan untuk atlet sukan itu. Atlet petanque akan menyertai temasya Sukan SEA di bawah naungan MOM,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, skuad petanque berjaya menyumbang dua pingat emas menerusi Hafizuddin Mat Daud dalam acara perseorangan lelaki serta gandingan Saiful Bahri Musmin dan Syed Akmal Fikri Syed Ali bagi acara beregu lelaki.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 02 Aug 2019