Medan terakhir pilih pemain

Ahmad (tiga dari kiri) pada majlis makan malam di Kuala Terengganu. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my

KEJOHANAN Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari ke-55 menjadi medan terakhir buat barisan kejurulatihan negara memilih 12 pemain bakal menggalas cabaran negara pada Sukan SEA di Filipina November depan.

Sebanyak 30 pasukan berentap pada kejohanan tertua dan berprestij di Stadium Negeri Terengganu bermula semalam hingga Ahad ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail turun padang sempena kejohanan itu menyatakan pihaknya akan dapat menilai kekuatan dan kelemahan ada pada pemain sebelum dipilih ke temasya dwitahunan itu.

"Selain mencungkil bakat baru dan mengekalkan permainan tradisi paling berprestij serta tertua bukan saja di negara tetapi di seantero dunia, kejohanan itu menjadi medan terbaik buat kami menilai prestasi pemain.

"Pemain yang berada dalam radar kami semuanya turun beraksi di kejohanan ini, jadi kami turut memanggil barisan jurulatih untuk menilai prestasi pemain berkaitan kelemahan dan kekuatan mereka sebagai persiapan sebelum ke Sukan SEA nanti.

"Setakat ini kita sudah ada bayangan 24 nama sebagai persiapan ke Sukan SEA, tapi ia belum muktamad lagi kerana masih dalam penilaian, kita masih ada masa sehingga 2 September depan iaitu kira-kira sebulan lagi untuk senarai pendek dan keputusan terakhir.

"Kita akan umum 12 pemain terakhir yang akan menyarung jersi negara.

“Kami tegaskan kejohanan itu menjadi arena dan platform penting kepada kami dan pemain sebagai persiapan ke sukan terbesar Asia Tenggara itu kerana sasaran kita adalah pingat emas," katanya pada majlis makan malam sempena kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari kali ke-55 di Kuala Terengganu, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 02 Aug 2019