Elaun 16 atlet dipotong termasuk Fatehah

Elaun Fatehah menurun sebanyak RM1,000. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

RATU trek negara, Fatehah Mustapa akhirnya menerima padah apabila dikenakan pemotongan elaun latihan susulan gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

Dia antara 16 atlet dikenakan pemotongan elaun latihan selepas mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Program Podium dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.

Fatehah dikenakan penurunan sebanyak RM1,000 berbanding elaun asal diterima RM4,500 manakala rakan sepasukan, Farina Shawati Mohd Adnan dan Khairil Nizam Mohd Rasol turut berdepan tindakan sama.

Turut tersenarai dalam kalangan 16 atlet dikenakan pemotongan elaun adalah penerjun negara, Ooi Tze Liang dan atlet memanah, Mohd Ikram Joni.

"Penilaian dibuat bagi memastikan atlet di bawah Program Podium sentiasa menetapi KPI yang ditetapkan.

"Seramai 620 atlet dikekalkan manakala 22 digugurkan.

Selain 16 atlet diturunkan elaun, 16 atlet turut dinaikkan elaun," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Antara atlet digugurkan adalah dari bola jaring, karate, memanah dan berbasikal para.

Atlet angkat berat, Muhammad Erry Hidayat yang meraih gangsa di Kejohanan Angkat Berat Komanwel mendapat pengiktirafan tertinggi apabila dinaikkan elaun sebanyak RM3,500 berbanding RM800 sebelum ini.

"Proses yang sama akan dilakukan selepas berakhir Sukan SEA nanti. Ia berdasarkan pencapaian mereka di temasya dwi tahunan itu," tambahnya.

Sementara itu kedudukan dua bekas tekong negara, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak akan diumumkan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail selepas bertemu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang dijadual minggu depan.

Skim elaun latihan atlet yang baharu menyaksikan mereka dibahagikan kepada tujuh kategori bermula RM800 bagi separa masa manakala RM7,500 bagi yang meraih pingat di pentas Olimpik.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 02 Aug 2019