Speedy Jantan belum cukup pantas

KHAIRUL Hafiz (kiri) memenangi perlumbaan 100m pada Terbuka Kuala Lumpur di Bukit Jalil, hari ini. — FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

ADA peningkatan dipamerkan Khairul Hafiz Jantan namun ia belum cukup pantas untuk menempah tiket ke temasya Sukan SEA Filipina.

Pemenang emas 100 meter edisi 2017 itu mencatat 10.50 saat pada kejohanan Terbuka Kuala Lumpur hari ini untuk memenangi saingan dan memperbaharui rekod kejohanan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Dia perlu melakukan sekurang-kurangnya 10.43s untuk layak ke temasya dwitahunan itu.

Jelas pelari dari Melaka itu, dia berpuas hati dengan catatan yang dilakukan walaupun sedar ia masih belum mencukupi.

“Saya tiada tekanan dan apabila melakukan 10.50s dengan tempoh latihan enam minggu sesuatu yang bermakna. Memang ada peningkatan berbanding 10.70s di Itali (Sukan Universiti Dunia).

“Malah saya menamatkan perlumbaan tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Dia akan turun pada Terbuka Malaysia diikuti SIPMA (Sukan Institusi Pendidikan Malaysia) dengan tarikh akhir kelayakan ke Sukan SEA adalah sebelum 2 September depan.

Jonathan Nyepa kini mendahului senarai pelari 100m selepas mencatat 10.37s pada kejohanan antarabangsa di Finland minggu lalu diikuti Zulfiqar Ismail 10.40s.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 03 Aug 2019