Pemain negara miliki ramuan kuasai Dota2

FIRDAUS yakin pemain negara mampu cabar pasukan tuan rumah dalam permainan Dota2.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

KEHADIRAN tiga pasukan profesional dalam senarai awal skuad Filipina untuk permainan Dota2 menjelang Sukan SEA 2019 tidak menghadirkan gerun buat pemain negara.

Menurut pengurus pasukan Sukan Elektronik (E-Sukan), Firdaus Hashim, Malaysia membariskan pemain terbaik selain bantuan tonggak profesional terutama yang mempunyai pengalaman beraksi di The International (TI).

"Jurulatih (Yap Chee Loong) akan menganalisa kesemua 15 pemain sebelum memilih yang terbaik. Buat masa sekarang sukar kita hendak membuat andaian awal kerana mungkin ada pemain yang akan bersara selepas TI (Kejohanan Dunia)," katanya.

Ujarnya, mereka akan menunggu sehingga berakhir TI sebelum membuat keputusan untuk memilih senarai akhir yang bakal beraksi di Sukan SEA nanti.

"Memang Filipina akan mencabar perebutan pingat emas dengan kita selepas kehadiran TnC dan Mineski namun kita akan mengumpul pemain terbaik berada dalam satu pasukan. Lagi pun kita pernah menang Kejohanan Dunia, mereka belum lagi," katanya yang terkenal dengan nama gelaran Masterramen.

Wakil Malaysia yang pernah merasai nikmat gelaran juara dunia ialah Wong Hock Chuan ketika mewakili pasukan dari China, Invictus Gaming.

Dalam saingan berlangsung di Benaroya Hall, Seattle itu Hock Chuan membantu pasukannya untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.2 juta).

Tahun ini lima lagi pemain profesional negara bakal beraksi di TI di Shanghai dan berkemungkinan akan disenaraikan ke Sukan SEA Filipina.

Kelima-lima mereka ialah Yeik Nai Zheng (TeamSecret), Yap Jian Wei (PSG.LGD), Kam Boon Seng (Mineski), Soon Chuan Tue (RNG) dan Cheng Jia Hao (Chaos EC).

E-Sukan akan diadakan di Filoil Flying V Centre (San Juan), Manila dan bermula dari 5 hingga 10 Disember.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 06 Aug 2019