PSM kecewa 'taktik kotor' Filipina

SKUAD takraw negara kini gigih menjalani latihan.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail mengakui kecewa dengan pendirian tuan rumah Sukan SEA 2019, Filipina yang bertegas hanya membenarkan negara bertanding menyertai dua daripada empat acara dipertandingkan bagi kategori lelaki pada temasya dwitahunan itu.

Malah lebih mengecewakan beliau apabila hanya satu acara dibenarkan bagi kategori wanita sekali gus memberi tamparan hebat kepada kontinjen sepak takraw negara dalam misi merangkul lebih banyak pingat emas.

"Setakat ini, negara yang bertanding hanya dibenarkan mengambil dua daripada empat acara yang dipertandingkan, hanya tuan rumah dibenarkan mengambil semua acara bagi lelaki.

"Lebih mendukacitakan apabila kategori wanita yang sebelum ini dicadangkan tiga acara tetapi akhirnya diputuskan hanya dua acara dengan negara bertanding hanya dibenarkan menyertai satu acara.

"Ini memang mendukacitakan kerana kita sudah buat persiapan tetapi terpaksa akur walaupun kita mengharapkan lebih ramai pemain dan banyak acara boleh disertai," ujar Ahmad.

Acara yang bakal dipertandingkan adalah regu berpasukan, double berpasukan, regu dan gelung manakala regu dan gelung bagi kategori wanita.

Dalam perkembangan lain, PSM sudah mengenal pasti 24 pemain awal yang bakal bersaing bagi menyarung jersi skuad negara pada Sukan SEA November nanti.

“Berdasarkan laporan daripada pengerusi pembangunan atlet bersama dengan jurulatih, dua lagi pemain diserapkan dalam kem pasukan negara bimbingan Abdul Talib Ahmad iaitu apit kanan daripada PDRM, Mohd Syukri Hassan dan tekong ATM, Tunku Noor Azwari Tunku Ishak.

"Jadi kami tambah dua pemain ini selepas kejohanan Piala Emas Khir Johari ini untuk latihan intensif sebelum jurulatih mengecilkan skuad kepada 18 pemain dan akhirnya 12 pemain," kata Ahmad.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 06 Aug 2019