Tidak boleh mendabik dada - NAAM

Abdul Hamid tidak mahu pemain mendabik dada. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PEMANAH negara diingatkan untuk tidak terbawa-bawa dengan pencapaian luar biasa meraih lima emas di siri kedua Piala Asia.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan, kejayaan pemanah negara wajar dipuji apabila mara ke final dalam lapan dari 10 kategori.

"Kami tetap berbangga dengan pencapaian yang diraih mereka. Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mengatakan sasaran lima emas di Sukan SEA sudah ‘selamat’ menerusi pencapaian itu," katanya.

Tambah Abdul Hamid, negara seperti Indonesia dan Vietnam yang dilabel antara pencabar utama tidak menghantar atlet mereka walaupun Filipina, Singapura dan Thailand turut bersaing.

"Jadi saya berharap mereka terus berusaha mempertingkatkan dan meneruskan pencapaian positif di Taipei terutamanya menjelang siri ketiga Piala Asia di Filipina pada bulan depan.

Barisan pemanah compound negara cemerlang di Taipei apabila tidak kecundang dalam empat final dengan Mohd Juwaidi Mazuki cemerlang meraih tiga emas menerusi acara individu, berpasukan dan campuran.

Turut meraih emas adalah trio compound wanita dibarisi Nur Aina Yasmine Halim, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Iman Aisyah Norazam.

Bagaimanapun Malaysia terpaksa akur dengan perak menerusi tiga final acara recurve walaupun trio wanita dibarisi Nur Afisa Abdul Halil, Nur Aliya Ghapar dan Lokee Shin Hui berjaya meraih emas selepas menewaskan Australia 6-2 di final.

Secara keseluruhan Malaysia berjaya bergelar juara dengan mengumpul lima emas, empat perak dan dua gangsa diikuti Korea Selatan yang menghantar barisan pemain muda meraih tiga emas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 07 Aug 2019