KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tidak mempunyai halangan untuk menyenaraikan Muhammad Azeem Mohd Fahmi ke Sukan SEA Filipina seandainya terpilih.
Jelas Timbalan Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar, senarai atlet yang bakal menggalas cabaran negara pada temasya dwitahunan berkenaan akan diputuskan selepas Terbuka Malaysia pada 17 hingga 19 Ogos ini.
“Jika dia sudah layak, kita tidak boleh ‘simpan’, namun ia perlu mengikut statistik dan merit. Saya sokong sepenuhnya kerana saya sendiri sudah menggalas cabaran negara ke Sukan Asia pada usia 16 tahun.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu terburu-buru (membuat kenyataan) kerana keputusan pemilihan adalah di tangan jurulatih sepenuhnya. Kami menyerahkan kepada jurulatih dan ia akan dilakukan selepas berakhirnya Terbuka Malaysia pada minggu depan,” jelas bekas ratu pecut negara itu.
Arena Metro semalam melaporkan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Mohammad mahu KOM mengambil tindakan berani menghantar Azeem ke Filipina bagi membentuk psikologi atlet berusia 15 tahun itu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh itu meraih emas di Kejohanan Sekolah-Sekolah Sukan Thailand (TSSG) di Khon Kaen, Thailand pada Isnin lalu dengan catatan 21.15 saat.
Catatan 21.15s itu membolehkan Azeem layak secara merit dalam kategori A serta di kedudukan ketiga terpantas dalam acara 200m, di belakang pemegang rekod kebangsaan Russel Alexander Nasir Taib dan Jonathan Nyepa.
Russel mencatatkan masa 20.77s, manakala Jonathan 20.92s dengan hanya dua terbaik akan terpilih beraksi di Sukan SEA Filipina.
“Saya tidak setuju sekiranya ada pihak yang menyatakan dia tidak layak mewakili negara, jika dia bagus dan mendapat tempat...tiada salahnya, kita perlu ikut merit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd