KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) enggan terlalu mengharapkan ‘pingat kejutan’ daripada atletnya apabila turun beraksi di Sukan SEA Filipina nanti.
Malah, PESAKA kekal dengan sasaran dua emas yang disandarkan terhadap 12 pesilat ke temasya dwitahunan berkenaan.
“Skuad kali ini memiliki atlet yang baharu saja menang kejohanan peringkat kebangsaan... jadi tidak boleh terlalu harapkan kejutan.
“Penelitian (untuk harapkan kejutan) perlu dilakukan berdasarkan latihan dan program sebelum ke sana. Kami kekal dengan sasaran dua emas,” jelas Naib Presiden PESAKA, Zaihan Mohd Isa yang juga pengurus pasukan ke Sukan SEA nanti.
Silat yang meraih 10 emas di Kuala Lumpur dua tahun lalu adalah antara sukan yang terjejas teruk apabila tuan rumah, Filipina hanya mempertandingkan enam acara.
Ia menyebabkan Malaysia tidak dapat menghantar barisan handalan seperti Mohd Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir yang bertanding dalam kategori berat badan berbeza.
Pesilat negara dijadual menyertai beberapa kejohanan dan latihan sebagai persiapan akhir menghadapi temasya Sukan SEA termasuk latihan di Thailand dan Filipina.
© New Straits Times Press (M) Bhd