PENERJUN sensasi negara, Leong Mun Yee tetap memberi sokongan kepada skuad negara ke Sukan SEA dan berharap mereka mampu untuk menyapu bersih empat emas yang ditawarkan di Filipina kali ini.
Biarpun hasratnya untuk menambah koleksi emas yang diraih di temasya dwi tahunan itu tidak mungkin dapat direalisasikan tahun ini berikutan tuan rumah tidak mempertandingkan cara platform, bagi Mun Yee ia bukan satu isu besar.
Katanya, ada misi yang lebih penting untuk diberi keutamaan iaitu temasya Olimpik di Tokyo tahun depan.
"Sukan SEA cuma ada empat acara iaitu 3m papan anjal individu lelaki dan wanita serta 3m papan anjal seirama lelaki dan wanita. Acara saya tidak dipertandingkan kali ini.
"Tapi sebagai rakan pasukan saya tetap akan memberi sokongan kepada mereka yang akan beraksi di temasya itu nanti," katanya.
Mun Yee tidak pernah terlepas menyumbangkan emas di temasya itu sejak 2001 ketika Sukan SEA Kuala Lumpur dan setakat ini sudah meraih 17 emas keseluruhannya.
Bagaimanapun dia masih belum memutuskan sama ada akan terus mewakili negara pada temasya Sukan SEA seterusnya iaitu pada 2021.
"Saya tidak fikir lagi sama ada akan menyertai Sukan SEA seterusnya. Ia masih jauh kerana tahun depan ada misi lebih penting iaitu Olimpik.
"Jadi fokus untuk Olimpik dahulu dan kemudian barulah fikir langkah seterusnya," katanya kini berada di China untuk kem latihan bersama Pandelela Rinong dan Ooi Tze Liang.
Mereka berlatih selama tiga minggu dalam persediaan menghadapi Kejohanan Asia di Kuala Lumpur bulan depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd