Tiada tiket mudah ke Filipina

KHAIRUL Hafiz (dua dari kanan) ketika kejohanan Olahraga Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

KEJOHANAN Olahraga Tertutup Malaysia yang bermula Jumaat hingga Ahad ini akan menjadi medan terakhir buat semua atlet olahraga negara untuk melayakkan diri ke temasya Sukan SEA Filipina.

Malah, tiada tiket mudah terutama buat atlet pecut negara Khairul Hafiz Jantan yang perlu berusaha lebih keras lagi untuk melepasi syarat kelayakan bagi kategori A.

Situasi sama turut melanda ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli yang juga belum melepasi syarat kelayakan ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Ketua jurulatih, Manshahar Abd Jalil yang ditemui pada sidang media skuad olahraga ke Sukan SEA berkata, untuk melepasi syarat merit, atlet perlu menghuni kedudukan tiga terbaik Asia Tenggara.

“Catatan 10.50s meletakkan Khairul Hafiz berkedudukan tempat ke-10 di Asia Tenggara manakala Husniah pula di ranking kelima di belakang dua pelari Filipina, Zion Carrales (11.41s) dan Kristina Marie Knott (11.42s).

“Bagaimanapun, saya menjangkakan seramai 25 ke 30 atlet akan terpilih untuk beraksi di Sukan SEA apabila senarai akhir diumumkan selepas tamatnya Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Mini MSN nanti,” katanya.

Untuk rekod, ketika ini seramai 15 atlet sudah melepasi syarat kelayakan bagi kategori A membabitkan 12 lelaki dan tiga wanita.

Mengulas mengenai sasaran, Manshahar berkata, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menjangkakan lima emas akan berjaya diraih.

Biarpun jumlah berkenaan kurang daripada edisi sebelum ini di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) iaitu lapan emas namun ia dilihat realistik berdasarkan persiapan skuad negara.

Antara atlet yang berpotensi untuk meraih emas adalah Hakimi Ismail (lompat kijang), Jackie Wong dan Grace Wong (baling tukul besi), Rayzamsyah Wan Sofian (110m lari berpagar), Nauraj Singh, Lee Hup Wei (lompat tinggi) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 14 Aug 2019