Harap ihsan KOM

KHAIRUL Hafiz Jantan
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Raja pecut Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan kini bergantung ihsan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk membolehkan dia beraksi pada edisi 2019 di Filipina, hujung tahun ini.

Hanya dengan sokongan KOM akan membolehkan dia beraksi pada edisi ke-30 temasya dwitahunan berkenaan menerusi tiket kategori B.

Pada acara 100 meter Kejohanan Olahraga KOM 2019 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) semalam, dia gagal melepasi kelayakan kategori A dengan saingan itu adalah peluang terakhir untuk melayakkan diri secara merit.

Dia yang mewakili Melaka menamatkan saingan dengan masa 10.71 saat untuk meraih tempat kedua di belakang pelari Johor, Haiqal Hanafi yang melakukan 10.59s pada aksi final.

“Saya OK saja (hantar atau tidak ke Sukan SEA).... tekanan hanya saya yang rasa. Jika tiada rezeki, saya reda kerana banyak lagi selepas ini dengan umur saya masih muda,” katanya.

Ia adalah kejohanan ketiga pemegang rekod kebangsaan berusia 21 tahun berkenaan selepas mengalami kecederaan selama tujuh bulan.

Dia memulakan musim ini dengan 10.70s di Kejohanan Universiti Dunia di Napoli, Itali pada Julai dan berjaya membaikinya dengan 10.50s di Terbuka Kuala Lumpur, dua minggu lalu.

Ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil menjelaskan nasib Khairul Hafiz serta atlet lain untuk ke Filipina akan dibincangkan pada mesyuarat pemilihan bersama KOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) pada Ahad ini.

“Peluang untuk kategori B memang ada. Dia mungkin akan berlari untuk acara berganti-ganti atau individu. Kami akan memperhalusinya pada mesyuarat itu,” jelasnya.

Bagi melayakkan diri secara merit, dia perlu berada dalam kedudukan ketiga terbaik dalam kalangan atlet di Asia Tenggara.

Bintang Indonesia, Lalu Muhammad Zohri kini adalah pelari terpantas dalam 100m dengan 10.03s diikuti Jirapong Meenaprta dari Thailand dengan 10.34s.

Jonathan Nyepa mendahului senarai pelari tempatan selepas mencatat 10.37s pada kejohanan antarabangsa di Finland diikuti Zulfiqar Ismail 10.40s.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 17 Aug 2019