KUALA LUMPUR: Jaguh lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail tidak akan menyertai sebarang kejohanan selama tiga bulan dalam usahanya melakar hatrik emas di Sukan SEA 2019.
Menurut atlet berusia 28 tahun itu, Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019 adalah penampilan terakhirnya dan fokusnya kini kepada temasya dwitahunan di Filipina.
“Saya sudah terlalu banyak menyertai kejohanan sejak Mac lalu, kira-kira 10 kejohanan dan ia sesuatu yang tidak bagus.
“Saya perasan prestasi juga menurun, jadi saya akan memberi perhatian kepada latihan dan persediaan rapi dalam tempoh tiga bulan sebelum Sukan SEA. Mungkin akan ada dua atau tiga kejohanan kecil sebagai pemanas badan sebelum terbang ke Sukan SEA,” katanya.
Dia yang mewakili ATM semalam, tidak berdepan masalah meraih emas dengan catatan 15.60 meter.
Hakimi masih mendahului pencapaian terbaik dalam kalangan pencabar di Asia Tenggara dengan catatan 16.47m yang dilakukan di Brisbane pada Mac lalu, namun sedar ia bukan jaminan untuk meraih emas di Filipina.
Pencabarnya dari Filipina, Mark Harry Diones dan Pratchaya Tepparak dari Thailand mempunyai catatan 16.27m.
“Jarak amat dekat...saya perlu bersedia dengan sepenuhnya dan manfaatkan tempoh yang ada,” katanya.
Pemegang rekod kebangsaan berkenaan adalah sandaran negara meraih emas selepas unggul di Kuala Lumpur 2017 (16.77m) dan Singapura 2015 (16.76m).
© New Straits Times Press (M) Bhd