ELENA Goh memastikan tiket ke Sukan SEA Filipina selepas meraih emas acara jalan kaki 10 kilometer di Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), hari ini.
Dia yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatatkan 53 minit 09.44 saat untuk memastikan tiket secara merit ke temasya edisi ke-30 itu.
Manakala pingat perak diraih Koong Jia Lin dari Pahang dengan masa 56:25.50s dan gangsa Pua Ling En dari Johor yang mencatatkan 58:19.35s pada saingan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN).
Berdasarkan kedudukan terkini ranking di Asia Tenggara, Elena muncul pelumba terpantas diikuti atlet Filipina, Elizabeth Capioso 1 jam 04 minit 27 saat.
Ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil mengesahkan Elena adalah atlet terbaru layak ke temasya itu.
Penuntut di Universiti Malaya berkenaan adalah pemenang emas dua tahun lalu di Kuala Lumpur dengan masa 52:21.50s.
© New Straits Times Press (M) Bhd