Misi Iskandar gagal

Iskandar memenangi pingat emas lompat bergalah lelaki akhir pada kejohanan olahraga KOM di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. FOTO Owee Ah Chun
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

ATLET lompat bergalah negara, Iskandar Alwi gagal dalam misi serampang dua mata di Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), hari ini.

Iskandar gagal dalam tiga cubaannya memecahkan rekod kebangsaan pada ketinggian 5.32 meter selain tidak berjaya meraih tiket kategori A ke Sukan SEA 2019.

Pemegang rekod kebangsaan pada ketinggian 5.31m terpaksa berpuas hati dengan menamatkan cabaran pada ketinggian 5.15m untuk muncul juara.

"Ketiadaan galah yang biasa saya gunakan sedikit sebanyak mengganggu persembahan. Galah saya masih di Itali susulan masalah yang timbul semasa Kejohanan Universiti Dunia bulan lalu," katanya.

Iskandar bagaimanapun mempunyai catatan terbaik musim ini 5.20m dan berada pada kedudukan keempat dalam kalangan atlet Asia Tenggara.

Sementara itu, pelari pecut Haiqal Hanafi menaruh harapan kejayaannya melengkapkan kemenangan berganda dalam 100m dan 200m akan membolehkan dia tersenarai dalam acara 4x100m.

Pada aksi 200m hari ini, dia memperbaharui catatan peribadi dengan masa 21.20s selain menjuarai 100m semalam dengan melakukan 10.59s.

"Saya sebenarnya tidak jangka dapat memenangi kerana fokus untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik.

"Saya berjaya dalam 200m walaupun kurang berpuas hati dengan catatan 100m," katanya.

Barisan kejurulatihan KOM akan bermesyuarat esok bagi memutuskan senarai akhir atletnya ke Sukan SEA 2019.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 17 Aug 2019