Khairul Hafiz dapat ihsan KOM ke Filipina

Khairul Hafiz Jantan. FOTO File NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

PELUANG Khairul Hafiz Jantan mempertahankan emas dalam acara 100 meter di Sukan SEA Filipina masih terbuka apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyenaraikannya dalam kategori B.

KOM memutuskan hanya Jonathan Nyepa (10.37s) yang melepasi merit disenaraikan dalam kategori A bagi acara 100m sekali gus terdapat kekosongan bagi seorang lagi pelari.

Bagaimanapun, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18 saat itu, perlu bersaing dengan tiga atlet lain - Muhammad Zulfiqar Ismail, Haiqal Hanafi dan Nixon Kennedy - yang turut disenaraikan bersamanya bagi acara 4x100 dalam kategori B.

Ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil menjelaskan pelari kedua 100m akan diumumkan dalam masa terdekat kerana senarai nama kategori B perlu mendapat kelulusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terlebih dulu.

"Selepas itu kita akan buat keputusan dengan menilai menerusi kriteria tertentu. Kita juga tidak mahu menimbulkan isu antara atlet dengan Khairul Hafiz juga berpeluang merebut tiket 100m," katanya.

Antaranya yang perlu dipertimbangkan menurut Manshahar adalah catatan masa 10.41s yang dilakukan Zulfiqar adalah pada Mac lalu dan ketika Kejohanan Olahraga KOM pada Jumaat lalu adalah 10.81s.

Beliau mengulas tindakan badan induk olahraga negara memutuskan tidak memberikan tiket automatik kepada pelari ketiga terpantas negara, Zulfiqar Ismail yang mempunyai catatan terbaik 10.41s

"Kita akan membuat keputusan secepat mungkin kerana atlet juga perlu bersedia sepenuhnya dalam acara yang disertai mereka," tambahnya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 18 Aug 2019