Muaz juara kebangsaan MTB 2019

Muaz (tengah) menjuarai kategori elit acara rentas desa Olimpik. FOTO MTB
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

PELUMBA Selangor, Muaz Abd Rahim melakar kejutan apabila menumbangkan beberapa pelumba ternama bagi menjuarai kategori elit acara rentas desa Olimpik di Kejohanan Basikal Bukit (MTB) Kebangsan 2019 di Taman Cabaran Putrajaya.

Bagaimanapun kejayaan diraih itu, semalam tidak memberi makna kepada Muaz apabila namanya tercicir daripada skuad MTB negara yang akan menyertai temasya Sukan SEA 2019.

Menerusi catatan 1 minit 26.08 saat, pelumba Selangor itu menewaskan beberapa jaguh veteran termasuk dua tonggak PDRM, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti dan Muhammad Elmi Jumari.

Pelumba Sarawak, Adrian Laurel Lauridsen turut melakukan kejutan apabila menduduki tempat kedua dengan perbezaan 0.44 saat manakala pelumba Putrajaya, Muhammad Aidil Taufid Affendi melengkapkan kedudukan podium kemenangan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab mengakui nama Muaz tercicir ke Sukan SEA Filipina.

"Kami sudah menghantar nama lebih awal dengan kejohanan kebangsaan baru diadakan (Jumaat hingga Ahad). Saya rasa peluang Muaz menyerlah masih ada kerana dia masih muda.

"Saya berharap Muaz tidak akan patah semangat untuk terus menyerlah dan menyarung jersi kebangsaan pada satu hari nanti," katanya.

Pada MTB 2019, pelumba berpengalaman, Fauzan dilabel pilihan utama akur menduduki tempat keempat dengan catatan masa 1:32.21s manakala Elmi menduduki tempat kelapan dengan masa 1:38.27s.

Kedua-duanya baru pulang daripada Kejohanan Sukan Polis dan Bomba Sedunia (WPFG) 2019 di Chinz dengan membantu pasukan berbasikal PDRM meraih 15 emas.

Pada kejohanan di Putrajaya itu, pelumba Terengganu, Saniy Syahmi Mohd Safiee pula muncul juara elit kebangsaan acara turun bukit dengan masa 1:29.877s menewaskan pesaing dari Selangor, Norshahriel Haizat Ahmad Nazali.

Acara turun bukit elit wanita pula menyaksikan pelumba Selangor, Siti Natasha Mohd Basri muncul juara dengan catatan masa 1:39.007s diekori pelumba Pahang, Nia Vanessa Suhana Zaidi muncul pemenang tempat kedua keciciran 2.521s di belakang.

Sementara itu Nur Deena Safia Nur Effandy yang mewakili Putrajaya muncul juara elit rentas desa Olimpik wanita dengan catatan masa 1:31.53s diekori pelumba Terengganu, Mustika Ayuni Mustofa dan Ainie Markus dari Sabah masing-masing menduduki tempat kedua serta ketiga.

Nur Deena Safia adalah anak kepada Nur Effandy Rosli, pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998 dan kini melatih skuad MTB Putrajaya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 19 Aug 2019