'Dah terasa bahang Sukan SEA...'

Atlet berbasikal lebuhraya (dari kiri), Mohd Fauzan Ahmad, jurulatih, Amir Mustafa Rosli, pengurus, Amrun Misnuh, jurulatih, Zafril Mohamed Zakaria dan atlet MTB, Siti Natasha Mohd Basri di MSN Bukit Jalil. FOTO OWEE AH CHUN
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

TIADA tekanan dirasai pelumba MTB (mountain bike) muda negara, Siti Natasha Mohd Basri biarpun akan beraksi julung kalinya dalam Sukan SEA di Filipina November depan.

Malah, atlet Selangor berusia 19 tahun itu, bertekad untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok tiga terbaik dalam acara turun bukit di temasya dwi tahunan itu.

Jika sebelum ini dia tidak layak ke Sukan SEA 2017 atas faktor usia, Siti Natasha menegaskan kini dia sudah bersedia membawa cabaran negara bersama seorang lagi pelumba, Norshahriel Haizat Ahmad Nazali, 28.

"Saya sudah melakukan persiapan rapi untuk Sukan SEA dengan menyertai pelbagai kejohanan di dalam mahupun luar negara dan akan berusaha mendapatkan podium.

"Misalnya, Julai lalu saya sertai kejohanan MTB Asia di Lubnan dan mendapat tempat keenam. Kejohanan itu cukup mencabar dengan trek berbatu kapur yang licin, selain laluan tanah berdebu dalam altitud 2,400 dari paras laut.

"Cabaran sengit daripada peserta Thailand dan Indonesia, tapi saya yakin dapat menyaingi mereka di Sukan SEA," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara hari ini.

Hadir, pengurus pasukan, Amrun Misnuh; jurulatih MTB, Zafril Mohamed Zakaria serta jurulatih acara lebuhraya, Amir Mustafa Rosli dan pelumba, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi. Siti Natasha yang menduduki ranking ke-37 dunia berkata, antara cabaran acara turun bukit termasuk lompatan ruang yang besar.

"Jadi saya berharap dapat sertai kejohanan MTB di Filipina pertengahan Oktober depan untuk ketahui selok-belok trek.

Ini kerana difahamkan penganjur mungkin guna trek sebenar Sukan SEA," katanya yang menjuarai acara turun bukit di Kejohanan Lumba Basikal MTB Kebangsaan 2019 (MTB 2019) di Taman Cabaran Putrajaya dengan catatan 1:39.007s, kelmarin.

Sementara itu, Zafril berkata, setakat ini pelumba Thailand dan Indonesia boleh memberikan cabaran sengit berikutan mereka lebih berpengalaman berlumba di sirkit dunia.

"Apapun persiapan pelumba kita berjalan lancar setakat ini.

Minggu ini mereka akan berlumba dalam Kejohanan MTB siri Asia di Bukit Siol, Sarawak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 20 Aug 2019