'Macam tak telus...'

SHEREEN
Aida Adilah Mat

aida_adilah@hmetro.com.my

DI MANA ketelusan dan integriti Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam menyenaraikan atlet di bawah kategori B yang akan bertanding di temasya Sukan SEA Filipina November ini? Bagaimana mereka memilih dan atas kriteria apa atlet itu disenaraikan?

Itu persoalan yang dilontarkan pemerhati sukan yang juga bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yang nyata kecewa apabila KOM ‘menganaktirikan’ pelari 4x400 meter wanita negara.

Pemenang pingat emas dalam acara 100m dan 200m di Sukan SEA 2003 Hanoi, Vietnam itu berkata, KOM terlalu mementingkan acara popular seperti menyenaraikan 4x100m wanita sebaliknya mengabaikan pelari dalam acara 4x400m wanita.

Katanya, jika menilai dari segi prestasi tiada seorangpun atlet dalam acara 4x100m wanita itu mencatatkan catatan di bawah 12 saat.

Justeru dari segi penilaian bagaimana mereka memilih untuk menyenaraikan 4x100m wanita tetapi tidak pula menyenaraikan 4x400m wanita.

“Lihat balik keputusan ketika atlet wanita 400m ini lari di Kejohanan Olahraga KOM minggu lalu. Catatan empat pelari terbaik itu jika dihitung semula mereka dalam kedudukan pingat gangsa.

“Masukkan Shereen (Samson Vallabouy) yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat, saya yakin bukan setakat gangsa malah emas juga mereka mampu peroleh,” katanya yang kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis.

Berdasarkan catatan masa terkini, hanya Shereen melepasi syarat kelayakan dan mendahulu senarai atlet terbaik 400m wanita negara dengan catatan 54.32s.

Nurul Faizah Asma Mazlan pula mencatat 55.57s, Fathin Faqihah Mohd Yusuf (56.49) dan Teoh Kim Chyi (57.21s) ketika menyertai Kejohanan Olahraga KOM minggu lalu.

“Semua masih muda. Bagi atlet 400m wanita ini peluang. Jika tidak ke Sukan SEA ke mana lagi mereka hendak pergi. Kalau mereka kata nak gilap Khairul Hafiz Jantan dalam tempoh dua bulan ini, sama saja konsepnya, bantu dan gilap pelari 4x400m wanita ini.

“Jangan lihat kroni dan acara popular saja. Bukalah mata. Jika tidak sekarang bila lagi,” katanya.

Mengikut Majlis Olimpik Malaysia, KOM masih mempunyai masa untuk memutuskan atlet yang berhak ke Sukan SEA Filipina sebelum tarikh tutup senarai akhir diumumkan pada 2 September ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 22 Aug 2019