KOM tunggu keputusan MOM

Manshahar kata persetujuan sudah dicapai. FOTO fail NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

SELEPAS melalui sesi perbincangan bersama jawatankuasa tertinggi, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memutuskan untuk mendaftarkan kuartet 4x400 meter (m) wanita negara ke temasya Sukan SEA Filipina.

Ketua jurulatih, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, kata persetujuan sudah dicapai selepas mengambil kira pelbagai aspek dan kini keputusan terletak sepenuhnya di tangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"KOM tahu keinginan atlet untuk beraksi dan di pihak KOM sendiri berusaha memberikan yang terbaik buat semua atlet negara.

"Bagaimanapun keputusan sama ada mereka akan dapat beraksi hanya boleh diputuskan oleh panel pemilihan MOM saja," katanya.

Berdasarkan catatan masa lima pelari terbaik negara dalam acara 400m meletakkan mereka di kedudukan pingat gangsa.

Mereka adalah Shereen Samson Vallabuoy 54.26s diikuti Nurul Faizah Asma Mazlan 54.72s, Zaimah Atifah Zainuddin (55.55s), Fathin Faqihah Mohd Yusuf (55.89s) dan Teoh Kim Chyi (57.21s).

Sementara itu Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Nazmizan Muhammad berkata, beliau cukup yakin dengan barisan terbaru skuad 4x400m yang ada ketika ini.

Biarpun tanpa Shereen yang dimaklumkan mahu menarik diri, Nazmizan tetap yakin keupayaan atlet negara menyumbangkan pingat.

"Masa mereka ini lebih baik daripada catatan masa ketika skuad negara meraih gangsa ketika di Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Kekangan kewangan bukan alasan yang penting pendaftaran. Saya yakin tempoh dua bulan ini, masa mereka akan lebih baik terutama apabila dapat mengetahui mereka disenaraikan dalam skuad negara ke Sukan SEA," katanya.

Dua tahun lalu, kuartet 4x400m dibarisi Faizah, Shereen, Tanalaksiumy Rayer dan Fathin Faqihah mencatatkan 3:43.31 untuk gangsa.

Emas diraih kuartet Vietnam, 3:33.40s dan perak milik Thailand, 3:38.95s.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 23 Aug 2019