Manshahar simpati nasib Speedy Jantan

Manshahar (kiri) simpati dengan Khairul Hafiz. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

TIDAK adil untuk menilai tahap seseorang atlet yang baru pulih daripada kecederaan.

Kejatuhan prestasi Khairul Hafiz Jantan tidak seharusnya menjadi buah mulut ramai pihak yang mempersoalkan kemampuannya terutama selepas gagal melepasi syarat kelayakan secara merit ke Sukan SEA Filipina.

Tegas ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, beliau bersimpati dengan kritikan yang dilemparkan oleh netizen terhadap raja pecut Asia Tenggara itu di laman sosial Facebook baru-baru ini.

"Adalah tidak adil untuk kita menilai Khairul Hafiz ketika dia baru pulih daripada kecederaan.

"Seharusnya kita perlu terus memberinya motivasi untuk membina semula keyakinannya kerana tidak mudah bagi seorang yang bergelut dengan kecederaan terpaksa berehat selama tujuh bulan tanpa sebarang latihan kembali ke prestasi terbaiknya," katanya.

Pelari yang dikenali dengan jolokan The Speedy Jantan itu gagal mendapatkan slot dalam 100m secara merit sekali gus tidak akan mempertahankan pingat emas yang diraihnya dua tahun lalu di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Filipina nanti.

Catatan 10.50s meletakkan pelari itu di kedudukan ketiga negara ketika ini dan hanya akan beraksi dalam acara 4x100m di Sukan SEA Filipina nanti.

Khairul Hafiz mendapat kritikan hebat selepas menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 10.71s ketika Kejohanan Olahraga KOM minggu lalu.

Manshahar yang sebelum ini pernah melatih atlet lompat bergalah negara, Roslinda Samsu berkata kecederaan bukan sesuatu yang diminta dan itu yang pernah terjadi kepada Roslinda sendiri.

Roslinda pernah mengalami kecederaan dan terpaksa berehat selama setahun setengah namun akhirnya berjaya bergelar pemenang rekod kebangsaan acara itu sehingga ke hari ini selepas itu pulih daripada kecederaan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 23 Aug 2019