Jackie waspada pencabar Thailand

Jackie mahu jarak kedudukan dengan pencabar lain. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

BERGELAR atlet yang menghuni ranking nombor satu Asia Tenggara dalam acara baling tukul besi bukan satu jaminan untuk membawa pulang emas di temasya Sukan SEA Filipina.

Perkara itu yang sentiasa membuatkan Jackie Wong mahu melakukan yang terbaik dalam setiap pertandingan yang disertainya supaya dia mampu terus kekal konsisten dari masa ke semasa.

Diletakkan sebagai sandaran emas di temasya dwi tahun itu, Jackie berkata, pencabar utamanya dari Thailand, Kittipong Boonmawan semakin menghampirinya.

Ia dibuktikan ketika kedua-dua atlet berkenaan menyertai Kejohanan Antarabangsa Mokpo di Korea Selatan Sabtu lalu yang mana Jackie meraih emas dengan balingan 66.70 meter dan Kittipong mendapat gangsa, 65.54m di tempat ketiga.

"Seperti yang saya kata sebelum ini, saya tidak boleh ambil ringan kepada saingan daripada negara luar walaupun berada di ranking nombor satu.

"Saya perlu sentiasa berusaha menjarakkan dari dengan atlet lawan dan apa yang ditunjukkan Kittipong itu satu amaran dan belum tiba masanya untuk saya bertenang," katanya kepada Arena Digital, hari ini.

Namun dari sudut positif, Jackie berkata, kehadiran Kittipong mampu menolaknya ke depan untuk melakukan jarak yang lebih jauh dan kini menyasarkan balingan 70m.

Berdasarkan kedudukan ranking Asia Tenggara ketika ini, Jackie selesa mendahului 68.22m.

Catatan itu juga rekod baru kebangsaan yang dilakukannya ketika Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dua minggu lalu.

Dua tahun lalu, Jackie berjaya memecahkan dominasi penguasaan Kittipong apabila meraih emas dengan balingan 65.90m manakala Kittipong perak 65.49m dan gangsa milik Arniel Ferrera dari Filipina 55.94m.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 26 Aug 2019