BARISAN atlet muda 4x400 meter (m) negara menaruh harapan yang tinggi agar diberi peluang buat mereka beraksi di temasya Sukan SEA Filipina.
Perkhabaran daripada KOM yang memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha untuk mendaftarkan kuartet terbabit memberi sedikit kelegaan buat atletnya Teoh Kim Chyi.
Kim Chyi, 22, berasal dari Kedah amat berharap Majlis Olimpik Malaysia (KOM) akan membenarkan mereka untuk bertanding di temasya dwi tahunan itu.
Katanya, sudah lama dia menunggu peluang beraksi di temasya besar namun tidak kesampaian sebelum ini malah atlet yang tidak berada di Bukit Jalil atau bukan skuad pelapis sering kali dilupakan.
“Ketika saya bersama beberapa rakan yang lain dimaklumkan bahawa kuartet 4x400m ini tidak didaftarkan ke Sukan SEA ia cukup mengecewakan.
“Kami hanya menangis memikirkan peluang yang tertutup itu. Tapi mujur akhirnya KOM menukar fikiran untuk mendaftarkan kami dan kini hanya menunggu keputusan dari MOM,” katanya.
Terdahulu, KOM menerusi ketua jurulatih, Mohd Manshahar Abdul Jalil memaklumkan bahawa sudah menyenaraikan lima atlet yang akan beraksi dalam acara itu.
Mereka adalah Shereen Samson Vallabuoy 54.26s diikuti Nurul Faizah Asma Mazlan 54.72s, Zaimah Atifah Zainuddin (55.55s), Fathin Faqihah Mohd Yusuf (55.89s) dan Kim Chyi (57.21s).
Mengulas mengenai pembabitnya Kim Chyi sebelum ini beraksi dalam acara 1,500 dan 800m memutuskan untuk bertukar acara ke 400m selepas melihat dia mampu melangkah lebih jauh lagi dalam acara itu.
Dia meraih emas di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dalam acara 1,500m dan 800 pada 2014 dan emas dalam acara 1,500m dan 2,000m lari berhalangan pada MSSM 2015.
Mempunyai kembar yang turut sama beraksi dalam acara olahraga, Kim Chyi yang berlatih di bawah bimbingan jurulatih Sani Md Saad berjaya melakarkan catatan terbaik peribadinya 57.21s dalam tempoh lima bulan selepas beralih ke acara 400m.
© New Straits Times Press (M) Bhd