Aidil tidak mahu tenggelam di Manila

Aidil mahu sumbang pingat buat negara. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

KETIKA Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengharapkan Lee Zii Jia mampu meraih pingat di Sukan SEA Manila 2019, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin turut mengharapkan mampu menyumbang sesuatu buat negara.

Menurut pemain berusia 19 tahun itu, dia masih lagi berasa terkejut dengan penyenaraian namanya di temasya berkenaan namun bermula dari sekarang dia berjanji akan mempersiapkan diri lebih baik.

"Saya masih di Bulgaria ketika mendapat tahu nama saya tersenarai ke Sukan SEA.

Memang berasa terkejut namun kalau mereka mahu turunkan saya beraksi, saya berjanji memberi yang terbaik dan mengeluarkan segala kepakaran saya di sana nanti," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann mengakui bahawa pemain muda disenaraikannya termasuk Lee Chong King mungkin akan diberi peluang beraksi dalam acara berpasukan.

Bagaimanapun, Aidil Sholeh berkata, dia lebih selesa jika diberi peluang dalam acara individu kerana merasakan beban dalam saingan berpasukan lebih berat.

"Jika diberi pilihan saya selesa bermain dalam acara individu berbanding berpasukan. Saya rasa takut jika tidak dapat sumbangkan mata buat negara, mungkin saya akan menjadi lebih berdebar.

"Bagaimanapun, saya harus akur dengan percaturan pengurusan kerana kita masih mempunyai pemain lebih baik untuk beraksi dalam acara individu seperti Zii Jia dan Soong Joo Ven," katanya.

Dalam pada itu, Aidil Sholeh mengakui bahawa Sukan SEA adalah peluang terbaiknya untuk melihat ataupun bertemu dengan idolanya dari Indonesia, Jonatan Christie.

"Saya suka cara dia melakukan 'smash' dan harap dapat belajar sesuatu darinya untuk meningkatkan lagi pengalaman saya.

"Jika henda jadi sepertinya mungkin saya kena lebih berusaha dan kuat berlatih," katanya yang berjaya muncul naib juara di Terbuka Hellas 11 Ogos lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 29 Aug 2019