Ada peluang tapi sukar - Ewe Hock

ZII Jia hadapi tugas getir di Manila.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock mengakui nampak agak sukar buat Malaysia meraih dua emas dalam acara badminton di Sukan SEA Manila 2019.

Bagaimanapun, beliau mengakui pemain negara masih mempunyai peluang untuk merealisasikan sasaran berkenaan walaupun bakal berdepan halangan sukar dari Indonesia dan Thailand.

"Dalam Sukan SEA, Indonesia memang sangat sukar untuk ditumbangkan kerana mereka mempunyai perseorangan dan beregu lelaki yang hebat. Thailand pula menguasai acara wanita," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar Ewe Hock, tiada cara lain buat Malaysia mencapai sasaran ditetapkan kecuali dengan memberikan aksi paling cemerlang.

Ditanya mengenai peluang perseorangan wanita, Goh Jin Wei untuk mempertahankan emas, beliau berkata, semua bergantung kepada keadaan terkini bekas juara remaja dunia itu.

"Dalam tempoh tiga bulan ini dia harus mempersiapkan diri sebaik mungkin. Sekarang susah untuk kita gambarkan. Ia satu sasaran tinggi dan sukar.

"Bagaimanapun, selepas kita melatakkan sasaran, kita harus mencapai sasaran itu tidak kira macam mana sekali pun," katanya.

Kelmarin, Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann mengumumkan sasaran yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ialah meraih dua emas dan satu darinya melalui acara perseorangan wanita.

"Begitu juga dalam perseorangan lelaki, di mana Lee Zii Jia bakal berdepan laluan berliku. Bukan saja Indonesia tapi Thailand juga mempunyai perseorangan lelaki yang hebat. Malah Singapura juga boleh mempertaruhkan pemain kelahiran Malaysia, Loh Kean Yew," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 29 Aug 2019