Sukan SEA gambaran kita di Olimpik - Norza [METROTV]

Norza harap pemain negara tidak ambil mudah Sukan SEA. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi gambaran bahawa pencapaian di Sukan SEA Manila akan menjadi gambaran awal kemampuan skuad negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurutnya walaupun Sukan SEA hanya membabitkan atlet dari negara Asia Tenggara namun kebanyakan generasi baru sukan badminton lahir dari negara rantau ini.

“Generasi pelapis semuanya datang dari Singapura, Thailand dan Indonesia. Jadi kita tidak boleh ambil mudah di Sukan SEA nanti,” katanya selepas saingan akhir eRacing Grand Prix SEA, Kuala Lumpur, hari ini.

Ujarnya, pemain negara tidak boleh mengambil mudah dan perlu betul-betul memberi saingan berikutan Sukan SEA adalah ukuran sebenar untuk Olimpik tahun depan.

“Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann sudah membuat justifikasi mengenai sasaran di Sukan SEA dan jurulatih bersama pemain perlu menjadikannya sebagai penanda aras.

“Saya tidak mahu mereka hanya melakukan latihan seperti biasa. Mereka perlu faham peminat mahu melihat satu perubahan,” katanya yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Minggu lalu Choong Hann meletakkan sasaran dua emas untuk skuad badminton negara yang akan beraksi di temasya dwi tahunan itu

Ditanya mengenai permulaan tugas Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh yang bulan ini, Norza berkata, beliau mengharapkan satu perubahan besar.

“Keputusan membawa masuk Setiausaha Agung secara sepenuh masa adalah untuk melengkapkan lagi servis sokongan yang sedia ada di dalan BAM.

Jadi saya mengharapkan satu perubahan besar akan berlaku,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 01 Sep 2019