Janji aksi terbaik

WOOI Yik (kanan) dan Aaron sedia GALAS cabaran pada penampilan sulung di Sukan SEA.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

PENGALAMAN beraksi di kejohanan besar seperti Seluruh England dan Kejohanan Dunia akan digunakan sebaik mungkin pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik di Sukan SEA Manila 2019.

Dia yang bergandingan bersama Aaron Chia mahu memberikan aksi terbaik walaupun ini adalah penampilan sulungnya di temasya berkenaan.

“Kita sudah mempunyai pengalaman beraksi di kejohanan besar dan berharap ia akan membantu kita di Sukan SEA kelak,” katanya yang menduduki ranking ke-13 dunia bersama Aaron.

Bagaimanapun, Wooi Yik mengakui mereka harus melakukan persiapan bermula dari sekarang walaupun jarang berdepan dengan pasangan dari Asia Tenggara di kejohanan antarabangsa.

“Thailand juga mempunyai pasangan kuat dan kita jarang bertemu mereka. Bagaimanapun, peluang untuk kami di Sukan SEA nanti saya rasa 50-50.

“Kita memang tidak boleh melihat kepada kedudukan ranking dunia, namun setidak-tidaknya ia mampu meningkatkan keyakinan untuk bermain di Sukan SEA,” katanya.

Wooi Yik juga berharap mampu menyumbang mata buat negara dalam acara berpasukan dan memainkan peranan penting bagi saingan individu walaupun sedar bakal berdepan kesukaran bertemu pasangan Indonesia.

“Saya akui kami sedikit bergelut ketika di Kejohanan Dunia bulan lalu dan bagi Sukan SEA kami harus segera mempertingkatkan dari segi fizikal serta mental. Banyak lagi perlu diperbaiki sebenarnya,” kata Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik terkandas di pusingan kedua Kejohanan Dunia selepas tumpas kepada wakil Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko 21-14, 17-21, 18-21.

Selain Aaron-Wooi Yik, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menghantar Ong Yew Sin-Teo Ee Yi bagi acara beregu lelaki.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Sep 2019