'Dua emas cabaran buat BAM'

Shapawi harap jangkaan positif di Sukan SEA Filipina. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

IA satu cabaran buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila meletakkan sasaran meraih dua emas di Sukan SEA Manila 2019, ujar Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Menurutnya, BAM tidak boleh meletakkan sasaran kurang dari dua emas untuk temasya berkenaan.

"Jika tidak meletakkan sasaran di peringkat Sukan SEA buat apa kita menghantar pemain ke tahap dunia dan Asia.

Sasaran perlu ada tidak kira dua ataupun tujuh untuk kesemua emas yang ditawarkan," katanya.

Ujar Ahmad Shapawi, sasaran dua emas itu adalah satu cabaran buat badminton dan membuktikan bahawa mereka benar-benar mahu beraksi di Olimpik tahun depan.

"Bagi membuktikan mereka mahu ke Olimpik, jadi mereka mesti mendapatkan sasaran berkenaan. Bagaimanapun, banyak perkara yang tidak jangka boleh berlaku.

"Sama seperti 2017 di mana beregu campuran kita bergelut namun berjaya mara sehingga ke final. Jadi kita harap akan ada jangkaan-jangkaan positif menjelang Sukan SEA.

Minggu lalu Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann mengumumkan dua emas menjadi sasaran skuad badminton di temasya dwi tahunan itu.

Kelmarin presiden badan induk berkenaan berkata, aksi di Sukan SEA mampu menjadi gambaran kepada prestasi pemain negara di Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Sep 2019