Misi rampas emas di Filipina

Skuad negara ketika beraksi menentang Kazakhstan. FOTO MHF
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

SKUAD hoki dalam dewan wanita dilihat cukup serius untuk merampas pingat emas daripada Thailand pada Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan apabila melakukan persediaan rapi menghadapi temasya dwi tahunan itu.

Terbaru, ketua jurulatih, Yahya Atan berkata, pihaknya sedang mengatur pertemuan bersama juara Piala Asia, Kazakhstan untuk siri perlawanan persahabatan November depan sebagai persiapan terakhir sebelum ke Filipina.

"Siri perlawanan persahabatan dengan Kazakhstan itu akan menjadi penanda aras kepada kekuatan skuad negara.

"Saya percaya dengan perlawanan berkualiti ini ia akan meningkatkan prestasi skuad negara sebelum ke Sukan SEA," katanya.

Yahya juga percaya barisan pemainnya masih mampu menyaingi Kazakhstan selepas pertemuan terakhir pada peringkat separuh akhir Piala Asia di Chonburi, Thailand Julai lalu menyaksikan skuad negara hanya tewas tipis 1-2.

"Jurang antara Malaysia dengan Thailand juga tidaklah begitu jauh dan saya percaya peluang tetap ada untuk kami di Filipina nanti," katanya.

Jelas Yahya lagi, pertemuan dengan Kazakstan juga untuk menilai sejauhmana keberkesanan pasukannya selepas beliau melakukan sedikit rombakan.

"Saya ada memasukkan tambahan dua pemain untuk menjadikan keseluruhan seramai 14 pemain di dalam pasukan. Tetapi untuk Sukan SEA saya hanya akan memilih 12 pemain," katanya.

Pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), skuad wanita negara sekadar meraih gangsa sekali gus gagal menepati sasaran untuk memenangi pingat emas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Sep 2019