Bukan satu kejohanan 'gambaran sebenar'

Rashid anggap prestasi perlu dinilai pada banyak kejohanan. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

BEKAS pemain dan jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek menyifatkan gambaran sebenar kemampuan pemain di Sukan Olimpik Tokyo boleh dilihat di kejohanan Siri Super bukan hanya di Sukan SEA Manila 2019.

Menurutnya, cabaran paling sengit di Sukan SEA hanya membabitkan dua negara saja, iaitu Thailand dan Indonesia.

"Olimpik akan membabitkan ramai pemain dari pelbagai negara dan memang kadang-kadang perkara ini sukar untuk diungkap (gambaran awal prestasi pemain negara).

Ia tidak boleh bergantung kepada satu kejohanan saja," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa Sukan SEA sedikit berbeza berbanding Olimpik terutama dari segi acara yang dipertandingkan.

"Olimpik lebih kepada individu dan Sukan SEA pula ada membabitkan acara berpasukan.

Jadi saya berpendapat untuk kita melihat kemampuan pemain bukan hanya dari temasya berkenaan saja.

"Gambaran paling jelas ialah prestasi mereka ketika di Super Siri iaitu sebelum bermulanya Olimpik.

Di Sukan SEA kita juga belum pasti sama ada Indonesia dan Thailand akan menghantar pasukan terkuat atau tidak," katanya.

Bagaimanapun, Rashid bersetuju dan menganggap sasaran dua emas yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah sangat realistik.

"Dua emas yang diletakkan sangat relevan sebab sebelum ini kita meraih satu emas di Sukan SEA Kuala Lumpur.

Perseorangan lelaki, Lee Zii Jia berpeluang untuk meraih emas di Manila cuma dia perlu berdepan Anthony Sinisuka Ginting dan Jonatan Christie.

"Dia juga bakal mendapat tentangan sengit dari Kantaphon Wangcharoen (Thailand).

Bagaimanapun jika Indonesia menurunkan skuad kedua (Tommy Sugiarto, Firman Abdul Kholik, Ihsan Maulana Mustofa dan Shesar Hiren Rhustavito) saya rasa Zii Jia boleh mengalahkan mereka," katanya.

Rashid juga menyifatkan Goh Jin Wei mampu untuk mempertahankan emas dalam acara perseorangan wanita manakala beregu lelaki dan campuran juga berpeluang untuk membantu merealisasikan sasaran meraih dua emas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Sep 2019