Atlet wushu negara raih tiga emas

PUI Yee raih tiga pingat.
BERNAMA

ATLET wushu negara mendapat suntikan moral menjelang Sukan SEA Filipina ke-30 November ini selepas menggondol tiga pingat emas dan tiga perak pada kejohanan Masterships Dunia di Chungju, Korea Selatan, semalam.

Pang Pui Yee muncul atlet terbaik Malaysia selepas merangkul tiga pingat - emas acara wanita bagi kategori Changquan selain pingat perak acara kategori Jianshu dan Baguazhang.

Tan Cheong Min yang mengutip tiga pingat peribadi pada Kejohanan Wushu Dunia 2017 juga mempamerkan aksi cemerlang dengan memenangi t emas kategori Nando wanita manakala satu lagi emas diraih Chuah Shangyang dalam kategori Xingyiquan lelaki, menurut laman web rasmi kejohanan www.chungju2019.com.

Pelbagai kategori seni mempertahankan diri dipertandingkan dalam kejohanan yang berlangsung dari 29 Ogos hingga Khamis ini termasuk taekwondo, judo, muaythai, ju-jitsu, aikido, kabaddi, pencak silat dan beberapa seni mempertahankan diri tradisi Korea Selatan seperti Tong-Il Moo-Do, Yongmudo, Korean Hapkido dan Ssireum (gusti Korea).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Sep 2019