Sasaran lima emas realistik

ZURAIDI (dua dari kiri) bersama pengurus pasukan, Syed Zainal Abidin Syed Zin dan atlet boling padang negara selepas sidang media di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. - FOTO Syarafiq Abdl Samad
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

MESKIPUN berdepan isu gelanggang perlawanan, skuad boling padang negara tetap diletakkan sasaran tinggi untuk meraih lima daripada enam pingat emas dipertandingkan pada Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan.

Jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh berkata, sasaran itu cukup realistik mengambil kira reputasi skuad negara yang berjaya membolot tujuh daripada lapan emas dipertandingkan di Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Namun di sebalik itu, Zuraidi mengakui barisan atletnya mungkin berdepan kesukaran selepas tuan rumah mengambil keputusan menggunakan gelanggang rumput berbanding sintetik.

"Banyak perbezaan antara permukaan padang rumput dan sintetik. Barisan atlet negara memang menjalani latihan di padang sintetik sebab kita sudah tiada gelanggang padang rumput di sini. Tapi sebagai persiapan ke Sukan SEA, MSN (Majlis Sukan Negara) sudah pun memberi lampu hijau untuk kami menjalani latihan di Thailand antara seminggu sehingga dua minggu untuk menyesuaikan diri dengan padang rumput," katanya pada sidang media hari ini.

Jelas Zuraidi, atlet boling padang negara yang beraksi di Filipina perlu membuktikan kemampuan mereka kerana ia juga sebagai medan untuk pemilihan ke Piala Dunia tahun depan.

"Sekiranya mereka tak dapat memenangi pingat emas untuk negara (di Sukan SEA), bagaimana mereka mahu mewakili negara di kejohanan lebih tinggi. Sebab itu saya berasakan sasaran lima emas itu realistik mengambil kira kualiti atlet yang kita ada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 03 Sep 2019