Andre tak rela digelar 'raja batal'

ANDRE miliki catatan terbaik 7.72 meter.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

ATLET lompat jauh kebangsaan, Andre Anura Anuar tidak mahu dilabel sebagai 'raja batal 'ekoran kegagalan menyempurnakan lompatan dalam beberapa acara termasuk Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Doha, Qatar sebelum ini.

Justeru, atlet berusia 20 tahun dari Tenom, Sabah itu kini bertekad memperbaiki prestasi sebagai persediaan ke temasya Sukan SEA Filipina 2019 yang juga pertama kali disertainya.

"Biarpun memiliki catatan peribadi terbaik 7.72 meter (m), saya menghadapi sedikit masalah ketika membuat larian sebelum menyempurnakan lompatan.

"Banyak perlu saya fokus untuk memperbaikinya dan tidak mahu dilabel 'king of batal'. Temasya Sukan SEA pada November ini juga dianggap penting dalam karier saya sekali gus mahu mengelak lompatan dibatalkan," katanya.

Andre yang kini berlatih dengan jurulatih, Firdaus Halim menganggap masalah itu bukan dipengaruhi faktor psikologi atau mempunyai teknik baharu namun lebih kepada mencari rentak dan keselesaan untuk melakukan lompatan terbaik.

"Saya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan prestasi lompatan melebihi lapan meter sekali gus turut bersaing dengan rakan senegara, Abdul Latif Romly," katanya.

Ketika ditanya peluang memperoleh pingat emas pada temasya itu, dia menganggap ia bukan perkara mustahil kerana mampu memberi saingan kepada atlet Indonesia, Sapwaturahman.

Berdasarkan laman web Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Andre berada di ranking kedua peringkat Asia Tenggara dengan merekodkan jarak lompatan 7.72m.

Tiga lagi atlet negara, Abdul Latif Romly (7.49m), Muhammad Nazri Mustafa (7.45m) dan Luqman Hakim Ramlan (7.34m) pula masing-masing di ranking kelima, keenam dan 10 Asia Tenggara. Kedudukan pertama setakat ini dihuni atlet Indonesia, Sapwaturahman yang mencipta jarak lompatan 7.97m.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 03 Sep 2019