Wan Kuzain setuju sarung jersi Malaysia

WAN Kuzain (kiri) mencipta nama dalam saingan MLS di Amerika Syarikat.
BERNAMA

PEMAIN sensasi yang sedang meningkat naik di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal sudah memberi kata putus untuk bermain mewakili Malaysia.

Perkara itu disahkan sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini yang menyatakan pemain terbabit telah pun menghubungi ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee dan menyatakan hasrat bermain mewakili Malaysia terutama bagi temasya Sukan SEA.

Kata Hamidin, Wan Kuzain dilaporkan berbuat demikian bulan lepas.

“Sebelum ini, dia (Wan Kuzain) tidak berminat tetapi baru-baru ini dia menyatakan hasratnya kepada Kim Swee untuk bermain.

“Jadi, kita tengah membuat persiapan untuk membawanya ke Malaysia bermain sama ada untuk pasukan Malaysia (Harimau Malaya) atau bawah 23 tahun,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) di Gelang Patah, hari ini.

Ditanya sama ada persiapan itu boleh diselesaikan lebih cepat bagi membolehkan Wan Kuzain beraksi dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijadualkan pada 10 September ini, Hamidin berkata perkara itu tidak dapat dilaksanakan.

“Ini kerana proses (prosedur untuk membawa dia balik) ada. Jadi, memang tidak sempat. Namun begitu kita akan cuba untuk Sukan SEA kerana dia kini sedang bermain dalam saingan Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat," kata Hamidin.

Penghujung tahun lalu, Wan Kuzain yang berdarah Malaysia dan bermain untuk Sporting Kansas City dalam saingan MLS dilaporkan dalam dilema untuk memilih hala tuju masa depannya iaitu sama ada mahu terus bermain di Amerika Syarikat atau beralih kepada Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 04 Sep 2019