Tambah sengat B-23

KEHADIRAN Wan Kuzain mampu perkasa bahagian serangan skuad Kim Swee di Sukan SEA Filipina.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

JAKARTA: “Memang betul, tetapi hanya untuk Sukan SEA saja,” kata bapa pemain sensasi negara yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal mengenai perkhabaran anaknya bakal menyarung jersi skuad senior Harimau Malaya.

Jelas Wan Kamal, anak keduanya Wan Kuzain sememangnya meluahkan hasrat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan, namun tumpuan hanya terarah kepada skuad bawah umur seperti skuad bawah 23 (B-23) negara.

Katanya, Wan Kuzain atau pernah diberikan jolokan ‘Messi Amerika’ ketika remaja bakal menyertai latihan pusat bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022 tidak lama lagi.

“Memang betul untuk Sukan SEA, tetapi dia masih mahu bermain untuk Amerika Syarikat dalam Piala Dunia akan datang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), seorang pemain hanya boleh bermain untuk satu pasukan kebangsaan saja dan tidak boleh bermain untuk dua negara.

Namun, peraturan itu berbeza buat pemain bawah umur di mana FIFA membenarkan mana-mana pemain untuk mewakili lebih daripada satu pasukan di peringkat antarabangsa selagi ia masih tidak meraih cap pertama bersama skuad senior.

Justeru, Wan Kuzain yang ketika ini beraksi dengan kelab Sporting Kansas City dalam Liga Bolasepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat masih mampu mewakili negara Uncle Sam itu meskipun bermain untuk skuad B-23 negara di temasya Sukan SEA Filipina November ini.

“Saya percaya dia akan memberi impak positif kepada pasukan Malaysia kerana keinginannya sangat tinggi untuk bermain.

“Sebagai pemain profesional dia tahu apa cabaran yang akan dilalui bagi membuktikan kemampuannya. Cuma dia dan ejennya saja akan ke Malaysia November ini kerana ketika itu MLS sedang ‘off-season’,” katanya.

Dengan pengesahan bapa Qan Kuzain itu, skuad B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee dilihat akan tampil mantap khususnya di jentera serangan di mana dia dijangka bergandingan bersama penyerang prolifik skuad Malaysia B-18, Luqman Hakim Shamsudin dan penyerang Johor Darul Ta’zim, Safawi Rasid.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 06 Sep 2019