PSM tegas soal disiplin pemain

Mohamad Taufik (tengah) dan Akramuddin (tiga dari kiri) bersama pemain skuad Negeri Sembilan Antlers. FOTO NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan bahawa badan induk itu tidak akan berkompromi dalam soal disiplin membabitkan pemain sepak takraw kebangsaan.

Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan mana-mana pemain yang melanggar disiplin daripada skuad kebangsaan.

Tanpa menyebut nama mana-mana pemain, beliau berkata, selain sumbangan dan dana yang menjadi taruhan untuk kemajuan sukan sepak takraw, disiplin adalah aspek penting dan harus diberikan penekanan.

"Kita di peringkat persatuan tidak ada berkompromi dalam soal disiplin dan sekiranya terdapat pemain yang melanggar disiplin, tidak teragak-agak untuk menggugurkan mereka daripada skuad kebangsaan.

"Kita tidak mahu menjadikan mereka ini sebagai `anai-anai' nampaknya cantik tapi dalam kosong," katanya pada majlis memperkenalkan pemain Negeri Sembilan Antlers dan sumbangan penaja bagi menghadapi Liga Sepak Takraw League (STL) 2019, di Klana Resort, semalam.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abdul Ghani dan turut hadir, Presiden Persatuan Sepak Negeri Sembilan (PESTANS), Wan Mohd Husni Abdullah.

Sebelum ini, dua tekong utama negara, Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak digugurkan PSM atas alasan disiplin tetapi kedua-dua pemain berkenaan menafikan dakwaan itu sehingga membuat keputusan untuk bersara, Julai lalu.

Syahir memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia menamatkan kemarau 10 tahun dengan memenangi pingat emas pada Sukan Sea 2015 dan 2017.

Gandingannya bersama Zulkifli turut menamatkan kemarau 24 tahun emas bagi sukan sepak takraw di Sukan Asia tahun lalu selepas kali terakhir muncul juara di Hiroshima pada 1994.

Akramuddin mengingatkan semua pemain termasuk dalam pasukan negeri supaya sentiasa menjaga disiplin dan fokus kepada usaha meningkatkan mutu permainan untuk memastikan negara tidak ketandusan pemain sepak takraw berprestasi tinggi.

Dalam perkembangan lain, beliau mengalu-alukan kerjasama pihak swasta untuk turut menyumbang dalam memajukan lagi sukan sepak takraw negara.

Menurutnya, kerjasama yang ditunjukkan syarikat swasta di Negeri Sembilan melalui sumbangan dana kepada PESTANS wajar dicontohi negeri lain.

"Ini suatu usaha yang baik dan harus dicontohi semua negeri. Sekiranya tiada kerjasama dan sumbangan dana daripada pelbagai pihak khususnya pihak swasta, sukar untuk kita (PSM) majukan sukan sepak takraw negara," tegasnya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 06 Sep 2019