Emas pertama 'hadiah perkahwinan' Syafiq

Syafiq raih pingat emas pertama. FOTO NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

PENERJUN negara, Muhammad Syafiq Puteh mahu menjadikan kejayaan meraih pingat emas individu pertamanya sebagai penyuntik semangat bagi meningkatkan prestasi ke peringkat lebih tinggi.

Hari ini, penerjun berusia 24 tahun itu meraih emas sulung negara dalam acara 1 meter (m) papan anjal lelaki dalam Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Syafiq mengatasi enam penerjun lain dengan mengumpul 356.50 mata menyifatkan kejayaan manis itu hasil kepercayaan diberikan ketua jurulatih, Christian Brooker bagi acara individu.

"Tidak dinafikan saya berdepan rasa gementar kerana menjadi calon pilihan bagi meraih pingat dan bersyukur kerana hampir semua terjunan terus konsisten.

"Ini emas pertama saya bagi acara individu dan bertekad mahu melakukan yang lebih baik terutama mempersiapkan diri menjelang temasya Sukan SEA Filipina pada November depan," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Dia yang mendirikan rumah tangga dengan Norashikin Azman, 24, hujung Disember tahun lalu turut menganggap kejayaan itu sebagai 'hadiah' perkahwinan mereka.

Dalam acara hari pertama itu, pingat perak turut diraih penerjun negara, Gabriel Gilbert dengan 299.10 mata manakala gangsa menjadi milik Hasan Qali yang mewakili Kuwait (268.20).

Gandingan penerjun muda negara, Hanis Nazirul Jaya Surya/Jellson Jabillin sebelum itu meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama lelaki selepas tewas dengan gandingan China, Duan Yu/ Wang Zewei.

Kejohanan Terjun Piala Asia sehingga Ahad ini menyaksikan penyertaan penerjun dari China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Kuwait, Macau, Qatar, Singapura dan Uzbekistan.

Ia turut menjadi tumpuan berikutan skuad terjun negara berpeluang cerah mendapatkan dua lagi slot ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Setakat ini, tiga penerjun wanita, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Wendy Ng Yan Yee sudah layak ke temasya terbesar dunia itu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 06 Sep 2019