Gelanggang umpama 'bendang padi'

Keadaan gelanggang becak di Filipina membimbangkan atlet. FOTO Ihsan Pembaca
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

BARISAN pemanah negara mendapat gambaran awal cabaran yang bakal dihadapi mereka dalam usaha merealisasikan sasaran lima emas di Sukan SEA Filipina.

Mereka yang kini berada di Clark City, Filipina bagi menyertai siri ketiga Piala Asia yang juga diangkat sebagai kejohanan ujian Sukan SEA dihidangkan dengan padang umpama ‘bendang padi’ susulan hujan yang berlaku.

Malah mereka terpaksa berjalan kaki sekitar satu kilometer dari hotel penginapan ke venue kejohanan pada saingan yang disertai kira-kira 10 negara itu.

"Saya juga terkejut apabila ditunjukkan gambar terbabit namun tidak pasti sejauh mana hujan yang turun. Ia bukan venue pertandingan Sukan SEA namun hanya terletak bersebelahan.

"Jadi saya berharap venue Sukan SEA adalah lebih baik apabila tiba masanya nanti," jelas Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan.

Malaysia menghantar sejumlah 15 pemanah (recurve dan compound) dan lima pegawai dengan hari ini adalah sesi latihan rasmi dan pertandingan akan berlangsung sehingga Ahad nanti.

Ia dilihat pentas terbaik pemanah negara menguji dan menyesuaikan diri dengan kawasan persekitaran apabila Sukan SEA bermula pada Disember nanti.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 09 Sep 2019