WFM sasar emas kejohanan dunia

Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my

PERSEKUTUAN Wushu Malaysia (WFM) sasar kutipan satu pingat emas pada Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai, China, dari 20 hingga 23 Oktober depan.

Presiden MFM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, sasaran itu dianggap realistik berlandaskan persiapan atlet kebangsaan dan saingan bakal dihadapi daripada lebih 50 negara mengambil bahagian.

Katanya, pihaknya tidak mahu memberi tekanan kepada 20 atlet kebangsaan yang akan bertanding untuk merangkul lebih banyak pingat emas walaupun mereka mendapat sentuhan bekas juara dunia, Mao Ya Qi.

"Kita mempunyai pengalaman dalam kejohanan dunia sebelum ini dan bukan mudah untuk atlet bersaing, tambah pula kali ini diadakan di China, antara negara yang mempunyai ramai atlet wushu bertaraf dunia.

"Namun, kita yakin satu pingat emas boleh dicapai pada temasya berprestij itu dan kita berharap atlet kebangsaan dapat mempamerkan persembahan terbaik," katanya di Seremban, hari ini.

Pada kejohanan sama dua tahun lalu di Rusia, skuad wushu kebangsaan berjaya membawa pulang dua pingat emas.

Namun bagi Kim Fatt yang juga Presiden Wushu, Tarian Singa dan Naga Negeri Sembilan berkata, fokus utama ketika ini adalah persiapan menghadapi Sukan SEA di Filipina, November depan.

Beliau berkata, skuad wushu negara hanya dapat membariskan sembilan atlet terbaik bagi menggalas cabaran pada temasya dwitahunan yang bermula dari 30 November hingga 11 Disember itu.

"Ia susulan penguguran beberapa acara oleh penganjur, namun saya yakin atlet yang bakal dijadikan sandaran adalah terbaik dan mampu mendapatkan sejumlah pingat emas yang kita sasarkan kelak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan negeri menyegerakan pelantikan Pengarah Majlis Sukan Negeri, bagi membolehkan persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor tahun depan tidak terjejas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 10 Sep 2019