Faizul elak aura negatif Sukan SEA

Faizul mahu cari pingat emas ketiga di Manila. FOTO NSTP
BERNAMA

PESILAT negara, Muhammad Faizul M Nasir tidak mahu terlalu memikirkan tentang pengadil atau wasit sebaliknya tekad meraih pingat emas ketiganya di Sukan SEA Filipina.

Pesilat berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu mengakui beliau tidak menitikberatkan isu pengadil berat sebelah yang berlaku dalam sesuatu kejohanan kerana ia akan memberi satu aura negatif yang boleh merencatkan aksinya.

“Juri itu perkara kedua, saya tidak mahu ada perasaan negatif ketika beraksi jika terlalu fikirkan mereka. Jadi perkara utama ialah persembahan yang bakal saya tunjukkan.

Saya mahu pastikan saya mendapat kemenangan mutlak, jadi tidak akan ada benda yang boleh diubah,” katanya pada sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Tambah Muhammad Faizul, walaupun tanpa kelibat juara dunia seperti Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir, beliau akan membawa aura juara dua pesilat itu pada temasya dwitahunan yang dijadualkan berlangsung pada 30 Nov hingga 11 Disember ini.

Mohd Al-Jufferi dan Siti Rahmah tidak menyertai kejohanan terbesar Asia Tenggara itu ekoran tuan rumah tidak menyenaraikan acara mereka.

“Saya mahu mengekalkan rekod bersih di kejohanan Sukan SEA yang mana sebelum ini saya sudah raih dua pingat emas di dua edisi Sukan SEA. Walaupun tanpa kehadiran juara dunia, saya dan pasukan mahu buktikan (kemenangan) tanpa kelibat mereka.

“Sepanjang dua kali kemenangan, mereka bersama saya tapi tidak mustahil tanpa kelibat mereka saya dan pelapis baharu tidak boleh buat, kami akan buktikan keupayaan kami.

Masa di Sukan SEA Singapura pun saya atlet baharu tapi saya boleh menang. Apa yang penting, kami dapat kawal emosi ketika pertandingan,” katanya.

Muhammad Faizul yang akan bertanding dalam acara Putra Kelas B (50-55kg) mahu menjadikan penyertaan di Sukan SEA kali ini sebagai yang terbaik untuk dirinya dan negara.

Beliau mengakui bakal menerima tentangan hebat daripada pesilat Singapura, Hazim Yusli dan Hidayat Limonu dari Indonesia.

Selain Muhammad Faizul, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) telah menyenaraikan empat lagi atlet bagi kategori silat olahraga iaitu Muhammad Khairi Adib Azhar, Zulfazly Zulfakar, Nor Farah Mazlan dan Nurul Khaiza Kharudin yang akan bertanding dalam lima acara.

Bagi silat seni menawarkan empat pingat emas, tujuh atlet disenaraikan iaitu Luqman Laji, Mohd Taqiyuddin Hamid, Sazzlan Yuga, Muhammad Syafiq Ibrahim, Mohd Juned Abdullah, Nashrul Edzam Mohd Asri dan Nur Syafiqah Hamzah.

Filipina hanya mempertandingkan sembilan acara berbanding 20 acara pada edisi lalu di Sukan SEA Kuala Lumpur.

Sebagai persediaan sebelum aksi di Filipina, pasukan negara menyertai Kejohanan Silat Terbuka Malaysia pada 25 hingga 29 September di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur diikuti latihan dan pertandingan percubaan di Filipina dari 20 hingga 26 Oktober.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 10 Sep 2019