Ikut jejak abang

WAN Kuzri (tengah) dipanggil menyertai latihan skuad Piala Dunia Bawah 17 AS pada 2006.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

KETIKA peminat bola sepak tanah air teruja mahu menyaksikan kelibat pemain sensasi yang sedang meningkat naik di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, ramai tidak menyedari adik bongsunya turut memiliki keupayaan sama seperti abang keduanya itu.

Menurut bapanya, Wan Kamal, selain Wan Kuzain yang kini beraksi bersama kelab Sporting Kansas City di saingan Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat (AS), beliau mempunyai seorang lagi anak iaitu Wan Kuzri yang sedang meningkat naik dan dipanggil menyertai latihan skuad Piala Dunia Bawah 17 (B-17) negara itu pada 2016.

Kehebatan Wan Kuzri terbukti, apabila dia kini sudah mula beraksi dalam divisyen dua, USL Championship (USLC) bersama kelab Saint Louis Football dan diberi peranan besar dalam pasukan itu meskipun baru berusia 19 tahun.

“Wan Kuzain ada seorang adik (Wan Kuzri). Permainan dia juga bagus dan sekarang sudah bermain di liga di sini (USLC).

“Dalam tempoh beberapa tahun lagi, saya yakin permainan adiknya akan bertambah matang dan mampu mengikut jejak abangnya beraksi di MLS serta pasukan kebangsaan Amerika,” kata Wan Kamal.

Sebelum ini, arena bola sepak AS terus digegarkan dengan impak ‘anak Melayu’ apabila anak bongsu pasangan Malaysia yang menetap di bumi ‘Uncle Sam’, Wan Kuzri pula dipanggil menyertai latihan pusat skuad remaja negara itu sekali gus mengikuti jejak langkah abangnya, Wan Kuzain,

Malah, difahamkan menerusi panggilan ini, Wan Kuzri menjadi pemain kedua dari Akademi St Louis Scott Gallagher (SLSG) Illinois yang dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan sejak 2013.

Menerusi pendedahan Wan Kamal mengenai kemampuan anak bongsunya itu, mungkinkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berminat memikat Wan Kuzri terutama untuk skuad bawah umur selepas abangnya meluahkan hasrat menyarung jersi pasukan bawah 23 (B-23) Malaysia.

Wan Kuzain dijangka pulang ke Malaysia pada November ini bagi menjalani latihan bersama skuad B-23 tahun negara bagi persiapan Sukan SEA di Filipina penghujung tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 11 Sep 2019