Darren tak mahu ulangi kesilapan

DARREN (kiri) dan Chan Yi Wen sedia menggalas cabaran di Filipina. — FOTO Azhar Ramli
BERNAMA

PEMAIN skuasy negara, Darren Rahul Pragasam kini lebih matang untuk menghadapi tekanan di gelanggang pertandingan menjelang aksi temasya Sukan SEA di Filipina, November ini.

Pemain berusia 20 tahun yang akan membuat penampilan kali kedua pada temasya dwitahunan itu tidak sabar untuk menampilkan aksi terbaiknya di Filipina dan berharap dapat menebus kekalahan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Pemain dari Negeri Sembilan itu terkandas pada separuh akhir apabila tewas di tangan pemain Filipina, Rafael Yam selepas gagal mengawal tekanan dan menganggap kesilapan lalu sebagai pengajaran buatnya.

“Ini penampilan kedua saya pada Sukan SEA dan yang pertama tidak mengikut pelan. Kali ini saya pasti lebih fokus. Saya rasa saya lebih matang dan dengan bantuan rakan sepasukan, saya lebih fokus.

“Kami menyedari pasukan lain memang kuat tapi kami berusaha keras. Jadi kami hanya perlu memberi tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan di gelanggang, saya fikir jika kami menampilkan yang terbaik, tiada yang mustahil,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) tetap dengan pendirian untuk menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 12 Sep 2019