'Jika bagus kami terima'

Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

TIADA sebab bintang bola sepak meningkat naik, Wan Kuzri Wan Kamal, 19, atau pemain muda berkualiti lain tertutup peluang untuk mewakili skuad Bawah 21 (B-21) negara.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi selaku Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM berkata, pihaknya melalui Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Pemain sememangnya mencari bakat baharu bola sepak dalam mahupun di luar negara bagi memperkuat skuad kebangsaan.

Katanya, jawatankuasa itu terdiri daripada jurulatih pakar akan menilai terlebih dulu ‘ubi baharu’ yang dikenal pasti itu sebelum dicadangkan jika memenuhi kriteria ditetapkan.

“Semua pemain termasuk Wan Kuzri yang berada di luar negara untuk dipanggil balik mestilah jawatankuasa ini buat kajian atau pemerhatian dulu.

“Jika memang dia pemain yang begitu hebat dan berbakat, sudah tentu jawatankuasa ini akan mencadangkan kepada kita namannya untuk dibincangkan.

“Jika kita boleh menaturalisasikan pemain untuk skuad kebangsaan, mestilah kita mengalu-alukan pemain sepertinya. Tapi mereka mesti memenuhi tahap yang kita kehendaki,” katanya.

Arena Metro semalam melaporkan dua beradik, Wan Kuzri dan abangnya, Wan Kuzain mengharumkan nama negara apabila masing-masing beraksi di Amerika Syarikat (AS) dalam divisyen dua, USL Championship (USLC) bersama kelab Saint Louis Football dan kelab Sporting Kansas City di saingan Major League Soccer (MLS).

Kedua-dua mereka juga dipanggil menyertai latihan skuad Piala Dunia Bawah 17 (B-17) negara itu sebelum ini dengan Wan Kuzain bakal memperkuat skuad B-23 Malaysia untuk Sukan SEA di Filipina penghujung tahun ini.

Yusoff berkata, jika melepasi kriteria dan mendapat sokongan daripada jawatankuasa terbabit langkah seterusnya adalah berbincang dengan Wan Kuzri dan keluarganya memandangkan usianya masih muda.

“Hakikatnya, kita sedang memantau dan mencari pemain terbaik untuk mewakili negara bukan saja Wan Kuzain dan Wan Kuzri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 12 Sep 2019