'Undian perlu telus...'

Mohd Iruan berharap undian berlangsung dengan baik. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

"JANGAN buat silap mata."

Demikian harapan pengurus pasukan tinju negara, Mohd Iruan Zulkifli yang mahu proses undian dijalankan dengan baik oleh penganjur tanpa sebarang isu tidak diingini pada Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan.

"Kami amat berharap proses undian akan memihak kepada petinju negara sebab kami sudah mempunyai pengalaman ketika Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

"Proses undian yang paling penting perlu telus.

Kami tidak mahu ada campur tangan daripada mana-mana pihak.

"Kami tidak mahu lawan yang sepatutnya ditemui di pentas final akan ditemui pada peringkat awal," katanya.

Jelas Mohd Iruan, ia bukan bermaksud petinju negara gugup apabila bertemu lawan dari negara seperti Thailand atau tuan rumah di pusingan awal.

"Jika sekiranya undian menyaksikan petinju negara memenangi perlawanan bertemu lawan yang sepatutnya ditemui di pentas final pada peringkat awal, maka laluan untuk memenangi pingat emas akan lebih cerah," katanya.

Acara tinju kebiasaannya akan memihak kepada petinju tuan rumah dengan pemenang pingat emas tunggal negara dua tahun lalu, Muhamad Fuad Mohd Redzuan sudah memberi bayangan akan berdepan misi sukar di Filipina.

Fuad akan hadir untuk mempertahankan pingat emas kategori 49 kilogram (kg).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 12 Sep 2019