KOM optimis sasar lima emas

SM Muthu ketika sidang media pengumuman atlet ke Sukan SEA 2019 Filipina di Wisma MOM.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) kekal optimis menyasarkan kutipan lima pingat emas buat kontinjen olahraga negara di temasya Sukan Sea Filipina 2019 pada November ini.

Keyakinan itu disuarakan Presidennya, Datuk SM Muthu selepas memuktamadkan senarai akhir 48 atlet lelaki dan wanita yang berkelayakan menyertai saingan dalam kategori A dan B.

“Sasaran lima emas itu dianggap realistik berdasarkan penilaian mengenai persiapan dan pencapaian atlet dalam beberapa kejohanan lain sebelum ini.

“Semua atlet diharap membantu merealisasikan sasaran itu dengan mengekalkan prestasi dalam rutin latihan dan turut menghargai jurulatih yang sudah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Hadir sama, ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abdul Jalil.

Kata Muthu, senarai atlet itu akan diserahkan pihaknya kepada MOM dalam tempoh terdekat bagi penilaian lanjut.

“Ia merangkumi seramai 19 atlet lelaki dan tujuh wanita bagi kategori A (tajaan penuh kerajaan), manakala 22 lagi atlet dalam kategori B (tajaan persatuan),” katanya.

Atlet kebangsaan yang menjadi sandaran meraih emas antaranya jaguh baling tukul besi, Jackie Wong; Lee Hup Wei/ Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi); Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Rayzam Shah Wan Sofian (lari berpagar).

Antara atlet yang turut berada dalam senarai akhir itu iaitu pelari pecut negara, Jonathan Nyepa; Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru); Choo Kang Ni (lempar cakera); Khairul Hafiz Jantan (4x100 meter) dan Chuah Yu Tian (lompat bergalah).

Untuk rekod, dalam Sukan Sea Kuala Lumpur dua tahun lalu, kontinjen olahraga memperbaiki pencapaian apabila berada di tempat ketiga di belakang Vietnam dan Thailand dengan mengumpul lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 13 Sep 2019